Thursday, January 10, 2013

Wang rm1 atau sejuta yang buat kau bahagia?!



Dulu-dulu semasa miera kecil, miera selalu berangan nak hidup bahagia. Ada rumah besar, dapat melancong macam kawan-kawan lain dan ada kereta mewah.  Makna bahagia pada miera waktu itu dalam erti kata lain ingin hidup kaya-raya.  Waktu itu miera rasa bila dapat jadi kaya-raya nanti, hidup kita akan lebih hebat,lebih bahagia dan lebih baik dari orang lain.

Tapi miera silap. Bahagia dengan kemewahan tidak menjamin kehidupan di dunia dan akhirat jika kita tidak meletakkan Allah sebagai asasnya. Bila sudah semakin dewasa sekarang, boleh berfikir dengan baik, baru miera sedar kehidupan yang kaya-raya tidak semestinya akan buatkan kita bahagia untuk selama-lamanya. 

Bahagia dengan kekayaan bukanlah segala-galanya kalau tidak tahu untuk bersyukur kepada Allah yang sentiasa memberi nikmat tidak terhingga ini. Ini, merupakan perkara penting di dalam kehidupan yang miera belajar sekarang.  Mungkin dengan kekayaan, di dunia kita akan bahagia, tapi tidak semestinya di akhirat juga akan bahagia, melainkan kekayaan itu diurus untuk pelaburan akhirat kerana Allah semata-mata, 
in syaa Allah ianya akan menjamin kebahagiaan kita di dunia juga di akhirat.

Walaubagaimana pun, jika tidak dapat apa yang kita inginkan, tidak semestinya hidup kita tidak bahagia.  Tidak semua orang yang kita lihat kaya raya, punya wang berjuta itu hidup bahagia. Tidak perlu merasa kurang sehingga memprotes apa yang ada di hdapan kita. Kita tidak tahu masalah dalam hidup mereka. Dan tanpa kita sedar, kadang-kadang kehidupan mereka lebih derita berbanding kita.

Maka bersyukurlah dengan apa yang ada. Apa jua yang ada di raih dengan qanaah dan redha seadanya. Merasa bahagia itu letaknya di hati. Dan bahagia itu hanya akan dapat di miliki apabila merasa ada walau pun tiada. Merasa bahagia walau pun terasa derita. 

Adakalanya, ada juga orang kaya yang hidupnya bahagia tapi kekayaan yang dimiliki itu hasil dari rasuah, rezekinya melimpah ruah tetapi tiada berkatnya disisi Allah SWT. Islam juga menggalakkan umatnya untuk meraih kekayaan di dalam hidupnya kerana dengan kekayaan dapat melepaskan diri daripada meminta-minta.Tidak salah menjadi kaya, jutawan ternama.  Bukankah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tangan di atas (yang memberi), lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima bantuan)"
(Hadis SahihRiwayat Imam Ahmad)

Demikianlah kebahagiaan di dunia ini hanya bersifat sementara. Tidak sebanding dengan harga pakaian yang sedang kita pakai sekarang. Hanya kebahagiaan di akhirat lah yang lebih bermakna. 


Apabila bertemu dengan Allah, sudah tidak ada lagi baju yang mahal-mahal.Begitulah kekayaan yang ada, hanya akan setia bersama kita sepanjang kehidupan kita tetapi pada saat kematian, kekayaan itu juga akan meninggalkan kita. Semua harta benda kita pula, akan kita tinggalkan begitu sahaja. 

Harta yang sebenar yang perlu di bawa hanyalah amalan dan sedekah jariah kita semasa di dunia. Namun, hakikat inilah yang sebenar sering kali kita lupa. Lupa apabila nafsu hanya melihat pada kekayaan di dunia. 

Fitrah manusia itu sendiri yang sering lupa, termasuklah diri miera sendiri. Ingin bahagia tidak semestinya perlu untuk sempurna semuanya, kerana kita sebagai manusia pun selamnya tidak akan sempurna sepenuhnya. Kadang-kadang kita terlalu taksub dengan kebahagiaan di dunia hingga lupa kebahagiaan di akhirat.

Cuba kita lihat,kadang-kadang mak cik yang jual keropok lekor di tepi jalan, lebih bahagia hidupnya dari 'businessman' yang sahamnya berjuta-juta. Ini kerana hidupnya sering mengutamakan Allah terlebih dahulu dari perkara lain. Walau sesusah mana pun, Allah mesti diutamakan dari yang lain.

Kebahagiaan sebenar yang dicari akan dapat apabila hati kita cinta kepada Allah melebihi segala-galanya..Akan tetapi untuk mendapatkan kebahagiaan dari Allah juga tidak semestinya perlu beribadat 24 jam, tanpa melakukan apa-apa. Itulah kebahagiaan yang sebenarnya. Tapi kita selalu melebih-lebihkan dunia dari Allah..


p/s: Allah meyuruh kita berusaha sendiri untuk dapatkan apa yang kita mahu. Dapat atau tidak,itu urusan Allah..Yang penting kita kena usaha dahulu dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Itulah kehidupan yang sebenar. Perlu berusaha,usaha dan usaha sehingga berjaya akan apa yang dihajati. Jangan sesekali putus asa. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...